Cerita tentang Si Pencuri dan Wali Allah

Suhbah dari Shaykh Muhammad (Mehmet) Adil Al-Haqqani An-Naqshbandi

5hb September 2012

Suhbah ini, melalui cerita tentang si pencuri dan seorang Wali Allah, menggambarkan sifat-sifat mulia dan kebijaksanaan disebalik setiap tindak laku para Wali-wali Allah. Allah telah memerintahkan manusia supaya hidup berdasarkan sifat belas kasihan dan para Mashayikh sangat bijak untuk memutuskan sesuatu dengan belas kasihan, terhadap hamba-hamba Allah.

A’uzubillah himinash shaitan nirrajeem

Bismillah-hir Rahman-nir Raheem

Assalamu’alaikum wrh wbkt

Seorang Shaykh sangat mengasihani hamba-hamba Allah yang berdosa

Hari ini, kami akan bicarakan mengenai orang-orang yang tidak menghargai bimbingan Guru-guru Tariqat, iaitu pembimbing yang memiliki ilmu dan kesedaran yang mendalam. Kami akan menerangkan sifat-sifat yang dimiliki para wali-wali Allah, supaya ia akan menjadi tauladan bagi semua. Asatizah/ustaz-ustaz, baru-baru ini, sering mengkritik/mencari kesalahan Wali-wali Allah. Asatizah/Ustaz-ustaz suka bertanya, “Apakah manfaat mengikuti Tariqat?”

Setiap pembimbing yang telah mencapai martabat sebagai seorang Shaykh dalam Tariqat, adalah seorang yang telah menguasai ilmu Shari’ahnya, beliau adalah seorang yang paling ahli dalam urusan Fiqh. Seorang Shaykh itu dapat memetik dari bahagian-bahagian Shari’ah yang paling mudah untuk murid-muridnya untuk mengamalkannya. Allah telah memerintahkan manusia supaya hidup berdasarkan sifat belas kasihan dan para Mashayikh sangat bijak untuk memutuskan sesuatu dengan belas kasihan, terhadap hamba-hamba Allah.

Wali-wali Allah adalah manusia yang dikasihi oleh Allah, dan mereka memandang dengan pandangan yang penuh belas kasihan terhadap semua manusia, tidak kira siapa sekalipun, walau terhadap golongan yang derhaka kepada Allah! Para Wali-wali memandang mereka yang seperti ini sebagai “manusia yang telah tergelincir dari jalan yang benar.”

Si Pencuri dan Wali Allah

Sebagai contoh, di kawasan Mawarannahr/Transoxiana, di sebelah daerah Khorasan, tinggal seorang hamba Allah, yang dikasihi oleh Allah. Beliau menghabiskan waktu malamnya dengan beribadah kepada Allah, iaitu dengan berzikir dan bertafakkur atas makna Ayat-ayat Allah.

Pada suatu malam, beliau sedang beribadah seperti selalunya sementara orang-orang kampung nyenyak tidur. Sewaktu beliau sedang khusyuk berzikir, beliau terdengar suatu bunyi yang agak ganjil. Apabila beliau menyiasat, beliau dapati ada seorang pencuri sedang berusaha untuk memanjat bumbung rumah jirannya. Melihat kejadian ini, Wali Allah itu menjerit sekuat hatinya, “Pencuri, ada pencuri disini!”

Semua orang kampung dikejutkan oleh jeritan beliau. Orang-orang kampung berlari keluar dengan tongkat-tongkat mereka sebagai senjata. Pencuri itu terkejut melihat orang-orang kampung yang telah bangun dan yang bersedia untuk menyerangnya. Dia melarikan dirinya dengan pantas dan orang-orang kampung tidak dapat menangkap nya. Dia dapat menghilangkan dirinya, kerana dia memanglah seorang pencuri yang sangat berpengalaman. Setelah letih mencarinya tetapi tidak berhasil, orang-orang kampung pun kembali ke rumah masing-masing.

Wali Allah ini, bagaimanapun merupakan seorang yang hatinya penuh dengan perasaan belas kasihan. Beliau berfikir, “Si pencuri itu telah berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk merompak rumah jiranku ini, tetapi malangnya, seluruh usahanya itu tidak berhasil. Dia tentu sedang bersedih atas nasibnya, kerana dia telah keluar dari rumahnya pada malam ini, dengan harapan yang tinggi.” Wali Allah itu merasa sangat sedih mengenangkan nasib si pencuri itu. Walaupun telah larut malam, beliau keluar dari rumahnya dan pergi mencari si pencuri itu. Beliau, dengan bantuan Allah, berjaya menemui tempat persembunyian si pencuri yang pada waktu itu, sedang duduk tercungap-cungap kepenatan.

“As-Salamu ‘alaikum…saya adalah kawan lama mu,” kata Wali itu.

“Benar kah? Saya rasa, saya tidak kenal awak,” jawab si pencuri itu.

Wali itu menjawab, “Sudah lama saya mengenalimu. Saya kenal kamu, kamu adalah orang yang sangat berani. Ada dua jenis keberanian. Keberanian menentang musuh, dan keberanian untuk melarikan diri dari bahaya. Dan kamu memiliki kedua-dua bentuk keberanian itu”.

Beginilah Wali Allah itu memuji si pencuri, sehingga dia menjadi kehairanan, “Mengapakah orang ini asyik memuji-muji diriku?”

Wali itu menyambung lagi, “Baru tadi ini, kamu telah berusaha untuk merompak sebuah rumah, tetapi kamu tidak berhasil. Saya tahu akan sebuah rumah, yang pagarnya tidak begitu tinggi dan yang sangat mudah untuk kamu memanjatnya. Jika perlu, saya akan bantu kamu untuk memanjat pagarnya. Tiada orang didalam rumah itu sekarang. Kamu boleh mencuri seluruh hartanya dan usaha kamu akan benar-benar berhasil kali ini.”

Beliau memujuk dengan waktu yang agak lama, sehingga si pencuri itu merasa yakin dan akhirnya, dia bersetuju untuk merompak rumah yang disebut. Mereka pun pergi bersama-sama ke tempat yang disebutkan itu, dan si pencuri mendapati yang memang ada rumah seperti yang di gambarkan oleh Wali itu tadi.

Si pencuri pun lantas memanjat ke atas bahu Wali itu dan memasuki rumah tersebut. Dia mengambil jubah, serban dan perkakas dapur – dia mencuri segala-segala yang ada di dalam rumah tersebut. Setelah semuanya telah diambil, Wali itu menasihati si pencuri, “Larilah kamu sekarang, supaya kamu tidak ditangkap.”

Kali ini, si pencuri berjaya melarikan diri dengan seluruh hasil curian nya. Si pencuri tidak menyangka yang dia telah merompak rumah kepunyaan Wali Allah itu sendiri, yang telah mengizinkan dia untuk merompak rumahnya, kerana kasihankan si pencuri yang tidak berhasil melakukannya sebelum itu. Wali itu rasa kasihan, yang si pencuri telah melarikan diri tanpa apa-apa hasil sebelum itu, maka beliau telah sanggup menawarkan rumahnya sendiri sebagai ganti, supaya si pencuri tidak pulang dengan tangan yang kosong.

 

Hikmah disebalik tindakan Wali Allah itu

Inilah sifat Wali-wali Allah, mereka sangat berbelas-kasihan terhadap manusia, terutama terhadap mereka yang berdosa. Jika tiada yang kasihani mereka yang jauh terpesong, siapa lagi yang akan membimbing mereka?

Terdapat beberapa hikmah dalam cerita ini. Mengapakah Wali itu telah membangunkan orang-orang kampung pada cubaan rompakan yang pertama? Ini adalah disebabkan rumah yang dirompak adalah rumah jirannya. Menurut Shari’ah, beliau wajib membantu jirannya, supaya hartanya terselamat, dan si pencuri dihalang dari perbuatan yang berdosa. Jika beliau mendiamkan diri, beliau telah bershubhat dengan si pencuri itu. Ini adalah keputusan yang di buat dengan ilmu Shari’ah.

Tetapi, cubaan kedua adalah ke atas rumahnya sendiri, dan beliau telahpun memasang niat untuk menyedekahkan hartanya kepada si pencuri supaya dia memperolehi hidayat, dan supaya dia tidak kecewa kerana dia telah pulang tanpa hasil sebelumnya. Beliau tidak mahu hati orang ini sedih terhadap nasibnya dan Tuhannya. Ini adalah keputusan yang di buat dengan ilmu Tariqah. Inilah sifat Wali-wali Allah!

Jangan bersangka buruk terhadap perbuatan para Wali Allah

Begitu juga Maulana, seringkali ada murid yang mengkritik murid-murid lain kepada beliau, dengan berbagai tohmahan/umpatan/fitnah. Maulana berlaku belas-kasihan terhadap semua manusia, melebihi Wali dalam cerita tadi ini. Kami telah menyaksikan berbagai kejadian yang sedemikian didalam kehidupan Maulana, walau terhadap mereka yang orang lain tidak suka bergaul dengannya (kerana perangainya yang buruk), kami perhatikan yang Maulana malahan menerimanya dengan penuh hormat dan juga memujinya. Mereka yang tidak memahami perbuatan Maulana itu akan mula mengkritik, “Mengapakah Maulana berbuat demikian?”

Sebahagian murid mula menjauhkan diri dari Maulana, kerana mereka tidak dapat menerima perbuatan-perbuatan Maulana. Itu tidak mengapa, kerana walaupun seorang murid ambil hati terhadap Shaykhnya, tetap Maulana akan bersamanya sehingga akhir hayatnya, sehingga nafas nya yang terakhir. Apabila murid itu pulang ke rahmatullah dan sedar akan kebaikan Shaykhnya, dia itu akan diselubungi dengan perasaan malu dan penuh kekesalan di akherat kelak.

Inilah akhlak Wali-wali Allah, dan sifat-sifat mulia yang ada pada mereka. Sifat-sifat mereka dan pemikiran mereka tidak serupa orang-orang biasa seperti kamu dan saya. Dari contoh cerita Wali Allah tadi, Wali-wali Allah semuanya begitu, sehingga sanggup menawarkan rumah mereka sendiri untuk di rompak dan dirinya menjadi mangsa rompakan! Itu baru satu contoh sahaja, Wali-wali Allah memiliki sifat-sifat dan perbuatan-perbuatan yang lain, yang jauh lebih mulia dari apa yang disampaikan dalam cerita tadi.

Para Wali sangat penyabar, betapa sabarnya seorang Wali itu tidak dapat digambarkan! Ramai orang yang tidak dapat memahami Wali-wali Allah. Walau mereka yang paling rapat dengan para Wali-wali itu sendiri, ada kalanya tidak akan memahami perbuatan mereka, sehingga mereka hairan dengan tindakan para Wali itu, dan mereka bertanya, “Apakah hikmah di sebalik tindakannya?” Pasti ada hikmahnya, kerana mereka tahu, Maulana adalah Wali Allah – bukan sahaja Wali biasa, tetapi beliau adalah Qutub kepada sekelian para Wali dalam zaman ini dan pewaris Nabi Muhammad (saw). Tetapi tindakan yang diambilnya dengan penuh belas kasihan sering di salah erti oleh murid-muridnya.

Semoga Allah tidak mengizinkan hati kami punya kesangsian dan perasaan was-was terhadap perbuatan-perbuatan Maulana, InsyaAllah. Perbuatan seorang Shaykh penuh hikmah – ini adalah perkara yang penting sekali. Hikmah bukanlah perkara yang mudah difahami atau dimiliki. Tidak ramai orang yang dikurniakan dengan hikmah oleh Allah. Dalam Ayat Quran, Allah berfirman:

يُؤۡتِى الۡحِكۡمَةَ مَنۡ يَّشَآءُ‌‌ ۚ وَمَنۡ يُّؤۡتَ الۡحِكۡمَةَ فَقَدۡ اُوۡتِىَ خَيۡرًا كَثِيۡرًا‌ ؕ وَمَا يَذَّكَّرُ اِلَّاۤ اُولُوا الۡاَلۡبَابِ‏

“Allah menganugerahkan al-hikmah kepada siapa yang Dia kehendaki. Dan barangsiapa yang dianugerahi al-hikmah itu, ia benar-benar telah dianugerahi karunia yang banyak. Dan hanya orang-orang yang berakallah yang dapat mengambil pelajaran dari setiap kejadian.” (Quran 2:269)

 

Tontonilah Suhbah ini disini: http://saltanat.org/videopage.php?id=5161&name=2012-09-05_tr_NatureOfAwliyaullah.mp4 (Sarikata dalam Bahasa Melayu telahpun disiapkan)

 

This entry was posted in Suhbah @mk, Suhbah Sheikh Mehmet Adil (asli). Bookmark the permalink.