Tutuplah pintu hatimu terhadap dunia ini! 10hb Oktober 2010

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ

Ringkasan Suhbah Harian, Maulana Shaykh Nazim

10hb Oktober 2010

Tutuplah pintu hatimu terhadap dunia ini!

A’uzubillah himinsh shaitan nirrajeem

Bismillahir Rahman-nir Raheem

Assalamu’alaikum wrh wbkt

  • Maulana menyambut mereka yang hadir dan bertanya bagaimana perniagaan mereka pada hari itu. Beliau menjelaskan bahawa wang kertas adalah sesuatu yang bertentangan dengan Syariah Allah, barangsiapa ataupun mana-mana negara yang bergantung pada penggunaan wang kertas, akan terjerumus kedalam kemelesetan dan krisis lebih mendalam lagi. Saranan mengenai cara bagi mengatasi krisis ekonomi telah diajar oleh Baginda Rasul (saw) lima belas abad yang lalu – iaitu untuk menggunakan logam emas, perak dan tembaga sebagai mata wang – bukan wang kertas, yang pada haqiqatnya, tidak ada nilai langsung. Setelah manusia beralih menggunakan komoditi logam ini sebagai mata wang, dalam empat puluh hari, krisis ekonomi akan berakhir. Selama wang kertas digunakan sebagai alat pembayaran/pertukaran, tidak akan ada penyelesaian kepada masalah krisis ekonomi dunia hari ini.
  • Maulana sengaja bertanyakan hal perniagaan kamu, kerana hari itu merupakan hari Minggu, dan tidak ada seorang pun yang sedang bekerja sebenarnya. Dengan bertanyakan soalan itu, Maulana ingin menunjukkan, bagaimana kamu tahu untuk membahagi waktu mu untuk tujuan duniawi. Kamu memperuntukkan enam hari dalam seminggu untuk duniamu dan sehari iaitu hari Ahad untuk berehat. Bagi hal-hal duniawi, kamu memberikan perhatian yg sangat mendalam dan memberi perincian dan perancangan yang begitu teliti. Tetapi apakah kamu melakukan hal yang sama untuk hari akhirat mu, kehidupan selanjutnya bagi mu, kediaman yang kekal abadi buat mu? Apakah kamu membahagi waktu mu untuk menghampirkan dirimu kepada Allah? Tidak! Kamu menumpukan seluruh perhatian mu kepada dunia mu, dan urusan akhirat kamu seperti ‘melepaskan batuk di tangga.’ Inilah ciri2 manusia akhir zaman yang jahil dan lalai.
  • Pada hari kiamat kelak, amalan2 kamu akan diperlihatkan kepada semua, dan Malaikat2 akan berkata kepada orang-orang yang buta, “Sementara kamu berada di dunia, kamu mengatur hidup mu hanya untuk bekerja, dan untuk mendapatkan wang dan harta kekayaan! Dan dalam dua puluh empat jam sehari semalam yang Allah telah kurniakan pada  mu, kamu hanya memikirkan keuntungan duniawi sahaja! Tidakkah pernah kamu terfikir tentang keuntungan ukhrawi mu? Tidakkah kamu sedar yang akhirat merupakan perhentian terakhir bagi mu, di mana kamu akan menetap buat selama-lamanya, kekal abadi ? Setiap kali kamu meraihkan keuntungan, kamu rasa begitu bahagia sekali, namun pada hari ini, ketika kamu melihat keadaan ‘miskin’ diri mu sendiri, kamu baru sedar, yang selama ini, kamu tidak memperolehi/mengumpul apa2 harta ‘akhirat’, dan kamu rasa malu dan kesal hari ini (tetapi tidak ada gunanya penyesalan pada Hari ini). “
  • Wahai Manusia zaman ini yang lalai! Mengapakan kamu begitu senang untuk mendapatkan/meraih keuntungan yang terbatas di dunia, tetapi kamu mengabaikan keuntungan yang tidak terbatas di akhirat? Apa kamu tidak tahu bagaimana membezakan antara kehidupan sementara dan yang kekal? Mungkin kamu akan mati esok hari, maka mengapakah kamu bekerja keras untuk kehidupan yang sementara, dan kamu langsung mengabaikan kehidupan yang kekal? “Adakah kamu sedang mabuk?” tanya Maulana.
  • Segala sesuatu di dunia ini adalah terhad – keuntungan, kenikmatan, kehormatan dan kehidupan nya – semuanya terhad, dan akan berakhir dengan kematian. Maka, walaupun kamu sedang meraih keuntungan duniawi, kamu tetap dalam kerugian, selama kamu tidak memperoleh keuntungan yang kekal abadi, dengan perbuatan2 mu.
  • Wahai guru2 agama, ingatkan manusia bahawa mengumpulkan keuntungan sementara di dunia ini adalah sesuatu yang sia2 – jelaskan perbezaan diantara kehidupan sementara dan kehidupan kekal abadi! Jelaskan kepada jemaah kamu, tujuan terciptanya mereka, mengapa Allah menjadikan mereka.
  • Kamu harus menggunakan segala cara yang tersedia, untuk mengundang manusia kepada realiti penciptaan diri mereka. Kamu harus memanfaatkan semua bentuk media yang ada sekarang, untuk menyebarkan mesej Islam yang sebenarnya. Lihatlah, manusia sekarang menggunakan media untuk menyebarkan berbagai bentuk hiburan, lagu2 dan filem2, semua itu hanya untuk melalaikan, untuk kesenangan ego manusia yang kotor.
  • Manusia hari ini memberikan keutamaan kepada keinginan ego-nya diatas perintah2 surgawi. Banyak umat Islam yang berhijrah ke negara-negara Barat atas alasan mahu menyebarkan Islam. Sebenarnya, mereka berada di Barat kerana mereka mahu menikmati kebebasan untuk melakukan apa yang mereka inginkan, mereka menyukai gaya hidup permisif yang berdasarkan nafsu, yang di amalkan oleh orang-orang yang kafir. Walaupun mereka berpura-pura bahawa mereka ke sana atas alasan agama, Allah mengetahui niat mereka yang sebenarnya. “Manusia boleh menipu sesama manusia, tetapi tidak akan mampu menipu Allah,” kata Maulana, “Allah mengetahui rahsia dalam hatimu.” Adakah kamu berfikir bahawa kamu boleh mengawal keinginan kamu ketika kamu berada dalam lingkungan kebebasan yang tak terkawal seperti itu?
  • Wahai penceramah2 agama, tinggalkan negara-negara ini (Inggeris, Perancis, Amerika dan di seluruh Eropah) dan kembali ke tanah air mu! Jika kamu tetap berada di sana, kamu akan ditulis sebagai pendusta dan munafik. Cahaya Surgawi akan diambil daripada wajah2 mu, kerana kamu telah menjadi keldai kepada ego mu. Sebarkan ajaran Islam dari negara kamu sendiri, ada banyak saluran untuk menghantar mesej realisasi yang terkandung dalam ajaran2 Islam, kepada orang-orang Barat. Kamu boleh menghantar siaran dari negara asal kamu, selama dua puluh empat jam sehari sekalipun. “Lihatlah diri saya ini,” kata Maulana, “Saya berada di satu pelusuk dunia, namun saya mengajak manusia dari Timur ke Barat dan dari Utara ke Selatan, kepada Allah, dan menyampaikan kepada mereka, realiti kehidupan ini.”
  • Jangan simpan keinginan untuk dunia lagi. Siapkan kain kapan buat pengebumian mu! Kamuakan dijemut pulang, bila-bila masa. Dan kemudian, kamu akan di pertanggung jawabkan atas setiap perbuatan mu (sewaktu kamu hidup dahulu). Bukalah belenggu dalam fikiran kamu, dan terimalah kenyataan ini! Tanda-tanda Akhir Zaman  yang di ramalkan lima belas abad yang lalu, telahpun muncul, maka ajarlah kepada manusia tanda2nya, dan nasihatilah mereka untuk membuat persiapan. Ulama harus mengatakan, “Hari Qiyamat sudah dekat, Tanda2nya telahpun muncul!” Sebarkan ajaran ini ke seluruh pelusuk dunia. Sekarang, kami hanya menanti tanda2 besar sebelum Qiyamat.
  • Hukuman Allah amat keras, maka berwaspadalah akan kedatangan balasan Ilahi, yang akan membakar tubuh kamu sampai garing, dan menghancurkan kamu menjadi debu.

إِنَّ بَطۡشَ رَبِّكَ لَشَدِيدٌ

Sesungguhnya, Hukuman dari Tuhanmu sangat menyakitkan. (Surah Al-Burooj 85:12)

  • Mereka yang memiliki kelebihan rizqi dan kemampuan untuk menaja siaran2 seperti Suhbah ini, dan lelaman2 dakwah agama, wajib melakukannya, sehingga mesej tersebut dapat disebar luas. Manusia harus menyedari bahawa mereka berada di dalam perjalanan, dan setiap perjalanan mempunyai destinasi. Kamu hanya mempunyai dua pilihan destinasi; yang pertama adalah destinasi keselamatan dan kepuasan, dan yang kedua adalah destinasi penderitaan dan penyesalan, dari mana kamu tidak akan dapat di selamatkan! Guru2 agama harus berhenti menulis begitu banyak buku/kitab, kerana orang-orang sudah tidak punya waktu untuk membaca buku2 lagi. Sebaliknya, bergaul mesra dan nasihatilah orang ramai (itulah yang di ertikan dengan perkataan Suhbah) dan bertugaslah seperti seorang doktor kerohanian, jelaskan kepada orang ramai, apa yang merbahaya untuk mereka, dan berkongsi dengan mereka ajaran2 yang akan menerangi hati mereka, sehingga penyakit mereka dikenal pasti dan dapat diberikan rawatan sebaiknya.
  • Pada zaman dahulu, ketika keretapi hendak memasuki terowong, konductor2 akan menyarankan penumpang untuk menutup semua tetingkap, kerana apabila keretapi itu melewati terowong yang gelap, serangga2 atau binatang2 yang bersembunyi di dalam terowong, akan memasuki kedalam keretapi itu. Demikian pula contohnya – sekurang-kurangnya, kamu harus menyarankan manusia untuk mencari kehidupan yang kekal, bantulah untuk menutup pintu hati mereka kepada cinta dunia, sehingga mereka tidak tersentuh oleh kesengsaraan, di dunia ini atau akhirat.

Fatiha.

Huraian

  • Ummat Islam digalakkan untuk membeli emas, dan untuk menyimpannya sebagai satu bentuk pelaburan. Belilah ketulan2 emas yang kecil, yang boleh digunakan untuk berjual-beli, apabila sistem mata-wang kertas runtuh nanti. Saranan ini telah diberi kepada kita beberapa dekad yang lalu, dan hanya hari ini kita dapat melihat bagaimana sistem wang kertas perlahan-lahan terurai di seluruh dunia.
  • Ramai orang Islam yang berhijrah, mendakwa bahawa mereka ke negara-negara Barat untuk berdakwah. Tetapi akhirnya bukan mereka yang menarik orang kepada Islam, malahan diri mereka sendiri yang tertarik dengan gaya hidup dan kebebasan di Barat, dan ramai dari ahli keluarga mereka, telah mengikuti gaya kehidupan bebas dan telah jauh dari cara kehidupan Islam. Maulana menyeru orang-orang seperti ini untuk kembali ke daerah asal mereka, dan dalam keadaan suasana masyarakat Islam di negeri2 mereka, mereka kemudian boleh berdakwah, melalui media elektronik yang sedia ada. Mereka yang memiliki kemampuan untuk menaja siaran2 ini dan lelaman2 dakwah yang menyebarkan Islam, harus datang ke depan dan melakukannya.
  • Fakta bahawa penceramah2 Islam telah tertarik terhadap gaya hidup orang-orang kafir, bukan menarik orang-orang yang kafir kepada Islam, menunjukkan betapa lemahnya iman orang2 Islam akhir zaman ini. Bandingkan, bagaimana para sahabat merantau ke seluruh dunia dan menyebarkan Islam kepada berjuta-juta orang-orang yang kafir. Sa’ad bin Abi Waqas berhijrah ke Cina, dan walaupun beliau tidak mampu untuk berbahasa daerah tersebut, beliau berjaya membimbing serta menarik perhatian begitu ramai ke dalam lipatan Islam – hari ini, ada lebih dari lima puluh juta orang2 Islam di Cina. Rasulullah (saw) bersabda dalam sebuah Hadits, bahawa orang muslim akhir zaman, adalah sangat lemah, kerana mereka mencintai dunia, dan takut kepada kematian. Benar sekali! Sadaqa Rasulullah(benar apa yang dikatakan oleh Rasulullah).
  • “Cinta kepada tanah air, adalah tanda keimanan,” bersabda Rasulullah (saw). Sesiapa yang berhijrah, harus merasa keinginan untuk kembali ke kampung asal mereka. Dan kerana tanah air sebenarnya bagi seluruh Ummat manusia adalah Syurga (Sayyidina Adam diciptakan dan bermula perjalanannya di sana), kita semua harus merasa terdorong untuk kembali ke sana, dan persiapan menuju kearah itu adalah tanda iman.
  • Manusia mesti menyedari perbezaan diantara apa yang dikatakan  sementara dan apa yang kekal. Jika kita bekerja untuk kehidupan dunia ini, kita hanya dapatkan keuntungan yang sementara dan terhad, dan akhirnya, semua itu ditinggalkan juga. Jika kita bekerja untuk akhirat, ianya memberikan kita keuntungan abadi yang tidak terbatas, dan kita akan membawa semua usaha itu untuk bertemu dengan Ilahi. Tentulah pilihannya jelas, bagi mereka yang memahami. Sebelum kita bermusafir, kita akan membuat persiapan, dengan membawa segala keperluan2. Demikian juga, kita harus membawa apa yang akan menyenangkan Allah, untuk perjalanan kita pulang ke akhirat.
  • Keretapi yang disebut pada akhir Suhbah, melambangkan umat Muhammad (saw), yang sedang memasuki terowong yang gelap gelita, yang melambangkan zaman kejahilan. Penumpang keretapi berada dalam bahaya kerana ada pelbagai-bagai serangga/binatang yang membahayakan yang tersembunyi dalam terowong yang gelap. Ulama yang diseru untuk menaiki keretapi (iaitu kembali ke tanah air), dan untuk menerangkan kepada masyarakat umum, bahaya apa yang ada di luar jendela yang menanti mereka, sehingga mereka akan menutup jendela2 itu. Itulah fazakkir, mengingatkan manusia, yang kita sanggup untuk menasihati. Mereka yang menutup tingkapnya, terpelihara. Bagi mereka yang menentang, mereka akan menghadapi berbagai bagai perkara yang mengerikan di dalam terowong yang gelap itu, dan pada saat mereka menyedar dan menyesal, mungkin sudah terlambat untuk menutup tetingkap tersebut. Wahai manusia, tutuplah pintu hati mu tehadap dunia, kerana dunia itu kotor, ia ibarat bangkai, dan jika ia memasuki hati kamu, ia akan membawa kekotoran dan penyakit yang akan mengheret kita ke dalam kegelapan penderitaan neraka. Semoga Allah melindungi kita semua dari akhir urusan yang buruk (su’sul-khotimah). Ameen.

Maulana Syaikh Nazim mengajar setiap hari pada jam 1 pagi WIB, sila ke lelaman www.Saltanat.org untuk mengikuti pelajaran beliau. Maulana mengajar dalam Bahasa Inggeris, tetapi alih bahasa di siapkan dalam Bahasa Melayu/Indonesia. Salinan ringkasan terdapat di lelaman Naqshbandi Singapura, recent.sufihub.com.


This entry was posted in 2010 @id, Oktober and tagged , . Bookmark the permalink.